Cabaran





Perahu Fiberglass
Dalam mengharungi dunia moden sudah semestinya memburis perahu menghadapi pelbagai cabaran dalam mempertahankan warisan turun temurun bagi masyarakat Kampong Ayer. Kurangnya minat belia dan anak-anak muda terhadap bidang pertukangan tangan khususnya dalam memburis perahu sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan terhadap perkembangan seni memburis perahu yang telah dikekalkan secara turun temurun sejak zaman dahulu lagi.Selain itu juga pada ketika ini penggunaan perahu yang diperbuat daripada fiberglass menjadi pilihan dan menarik minat para nelayan di negara ini untuk menggunakanya berbanding perahu yang di hasilkan oleh anak tempatan kita.

Memburis perahu bukanlah suatu perkara yang mudah, ianya memerlukan ketelitian dan kesabaran dalam menghasilkan perahu yang bermutu tinggi bagi mencapai cita rasa dan dapat memuaskan hati orang yang menempah sesebuah perahu itu. Oleh itu seorang pemburis hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang tinggi dalam memburis perahu, ini adalah termasuk mengetahui semua alat-alat yang digunakan, langkah-langkah untuk memburis perahu, kepantasan dan kemahiran. Ini adalah antara sebab kenapa belia pada masa kini tidak berminat dalam menceburi bidang memburis perahu.

Memandangkan ilmu atau cara-cara memburis perahu tidak ditulis atau dibukukan bahkan hanya dipelajari melalui pengamatan seseorang maka amat susahlah bagi generasi yang akan datang mengetahui cara-cara memburis perahu yang betul jika belia dan anak-anak muda pada masa sekarang tidak mewarisi ilmu memburis perahu tersebut daripada orang yang berkemahiran seperti mewarisi dari ahli kelurga yang mahir dalam memburis perahu.

Cabaran yang bakal dihadapi apabila sudah tidak ada yang mewarisi ilmu memburis perahu ialah masyarakat Brunei khususnya masyarakat Kampong Ayer yang memerlukan perahu tambang sebagai hubungan terpaksa menempah perahu dari luar yang mungkin ditawarkan lebih mahal berbanding dengan tempahan yang biasanya. Sudah semestinya tempahan perahu akan menjadi berkurangan dan secara tidak langsung perahu yang dijadikan sebagai pengangkutan air bagi perhubungan masyarakat Kampong Ayer akan berkurangan.

Apabila pengangkutan air sudah berkurangan tidak mustahil akan ada permintaan yang tinggi terhadap kerajaan bagi menyediakan jambatan yang terus berhubung ke darat untuk masyarakat Kampong Ayer bagi menggantikan perahu tambang tadi. Secara tidak langsung akan hilanglah warisan turun temurun memburis perahu yang menjadi lambang dan simbolik masyakat Kampong Ayer itu.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa perancangan memindahkan penduduk Kampong Ayer ke darat yang bermula sejak tahun 1951 lagi oleh Jabatan Perpindahan yang sekarang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Perumahan. Jika perancangan ini berjaya pada masa akan datang maka sudah pasti permintaan untuk menempah perahu akan berkurangan dan akan berkuranglah minat seseorang itu untuk meneruskan kemahiran memburis perahu kerana pendapatan yang kurang memuaskan jika dibandingkan dengan sebelumnya.