Mempertahankan Warisan


 Pihak-pihak yang tertentu terutamanya pihak kerajaan haruslah mengambil langkah bagi menarik minat belia-belia bukan sahaja terhadap masyarakat Kampong Ayer tetapi kepada belia diseluruh negara dengan mengadakan jerayawara, pameran dan bengkel ke institusi-institusi pendidikan dan sekolah-sekolah rendah mahupun menengah bagi mendekatkan lagi para belia kepada seni memburis perahu. Untuk menarik minat belia itu ialah dengan memberi kesedaran kepada mereka bahawa memburis perahu adalah seni warisan turun temurun yang mesti dipertahankan.



Bagi melahirkan belia-belia yang berkemahiran dalam pertukangan tangan khususnya dalam memburis perahu pihak kerajaan mahupun swasta hendaklah menubuhkan pusat pertukangan tangan yang khas di mana belia-belia diberi tujuk ajar oleh guru-guru yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi dalam bidang memburis perahu dengan lebih mendalam dan secara terperinci. Di sini lah juga mereka mengetahui cara-cara pembuatan, proses-proses, alat-alat yang digunakan dalam memburis perahu.



        Dalam usaha untuk mengelakkan pupusnya ilmu dalam memburis perahu ini, pihak-piahak yang tertentu hendaklah mengambil langkah untuk menulis cara-cara memburis perahu yang betul dengan lengkap dan terperinci bagi panduan generasi akan datang yang mungkin berminat untuk menceburi bidang memburis perahu ini.



        Salah satu cara untuk menarik minat atau menggalakkan orang ramai  menceburi bidang memburis perahu ini ialah dengan memberi galakan kepada mereka dengan mengatakan bahawa pendapatan dari memburis perahu itu sangat lumayan. Dengan adanya penglibatan awal para belia ini, diharapkan warisan turun temurun memburis perahu ini tidak akan hilang walaupun di ambang arus perubahan zaman.