Kampong Ayer adalah salah satu tempat yang bersejarah di mana kewujudan awal Brunei dan menjadi kebanggaan rakyat di Negara Brunei Darussalam. Kampong ayer menjadi tarikkan para pelancong yang datang ke negara ini sehingga Kampong Ayer juga dikenali sebagai 'Venice of Asia'. Ini telah pun diakui oleh Antonio Pigafetta sendiri ketika beliau datang ke negara ini. Beliau berpendapat sungai Brunei ketika itu hampir serupa dengan salah sebuah bandar di negara Eropah iaitu Venice, Itali.
Menurut sumber yang dipercayai Kampong Ayer telah wujud lebih seratus tahun yang lalu. Namun kini, zaman semakin maju dan moden golongan tua yang mengetahui sejarah awal mengenai Kampong Ayer semakin berkurangan. Walaupun, masih ada generasi ini berkemungkinan tidak ramai yang dapat menceritakan pengalaman dan pengetahuan mereka membesar di Kampong Ayer.
Kampong Ayer mempunyai keunikkan yang tersendiri, sejarah yang terdahulu ada menyatakan bahawa Kampong Ayer bukan sahaja dianggap sebagai sebuah bandar malahan juga dianggap sebagai sebuah negera yang kaya dari aspek kebudayaan, ekonomi , sosial, kepercayaan dan keagamaan menurut pandangan bangsa asing. Pada keseluruhannya , pekerjaan tradisional dan perusahan tangan bercorak tradisi penduduk Kampong Ayer meliputi berbagai bidang seperti bertenun kain, padian, kraftangan , pengalu dan termasuklah memburis perahu.
Sejarah memburis perahu memang telah lama wujud lebih-lebih lagi di Kampong Ayer. Memburis perahu merupkan salah satu sumber pendapatan penduduk Kampong Ayer sebelum adanya perkerjaan di jabatan kerajaan. Pada ketika ini setelah zaman semakin moden memang diakui bahawa kegiatan memburis perahu semakin berkurangan tetapi ianya masih wujud sehingga ke hari ini.
Daripada kajian yang dilakukan, kegiatan memburis perahu ini akan tetap bertahan lama selagi wujudnya Kampong Ayer di negara ini. Daripada pemerhatian pengkaji pembuatan atau memburis perahu ini telah mengalami perubahan dari segi pembuatan, bahan buatan, peralatan-peralatan dan tempoh menyiapkan sesebuah perahu mengikut peredaran zaman yang semakin moden ini. Dari pengamatan pengkaji kepandaian memburis perahu ini di warisi secara turun-temurun dan ilmu kepandaian seorang pemburis bukan diperolehi dari membaca buku, ianya hanya dari pengamatan dan semasa membantu seseorang yang mahir memburis perahu.
Perahu merupakan alat kenderaan atau penghubung yang sangat penting di kawasan perairan. Adanya perahu maka ini memudahkan mereka membuat perhubungan diantara satu sama lain. Bagi penduduk Kampong Ayer, perahu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan mereka bukan sahaja untuk alat penhubung bahkan juga untuk mencari rezki. Pertukangan membuat perahu lebih dikenali sebagai ‘Memburis Perahu’.